Tip untuk Raya yang Lebih Menyihatkan
Nutrition

Tip untuk Raya yang Lebih Menyihatkan

Posted

15 July 2015

comments
comments

Kini, tibalah masanya untuk kita menjalin hubungan yang lebih rapat dengan keluarga dan rakan-rakan, dan kunjung-mengunjungi di samping menjamu selera. Bagi ramai orang, Raya adalah pesta makan dan ramai antara kita yang bersiap-sedia untuk makan, walaupun kita belum sempat menjejakkan kaki ke rumah terbuka pertama. Ya, siapa kata tak boleh makan? Tetapi dengan mengikuti beberapa peraturan asas, ia membantu mengurangkan ‘kesan buruk’ akibat makan berlebihan semasa perayaan.

Pastikan anda bersarapan!

Pepatah 'Bersarapanlah seperti raja, makan tengah hari seperti putera dan makan malam seperti si fakir’ adalah pepatah yang baik untuk diingati. Hanya kerana anda akan makan di rumah terbuka pada jam 11 pagi, jangan keluar rumah tanpa bersarapan, dengan niat ingin menjimatkan kalori. Tidak bersarapan boleh menyebabkan berat badan bertambah kerana ia merendahkan metabolisme sepanjang hari. Mereka yang bersarapan juga mengurangkan pengambilan kalori sepanjang hari. Apabila kita tidak bersarapan, paras gula dalam darah menjadi rendah dan ketika itulah kita mula berkehendakkan makanan, terutamanya manisan. Kita tak mahu ini berlaku, terutamanya kerana kita akan ke rumah terbuka yang dipenuhi pelbagai makanan menyelerakan. Apabila kita makan (selepas meninggalkan sarapan), berlaku peningkatan mendadak dalam tahap gula dalam darah. Badan kita bertindak balas dengan menukar gula kepada lemak untuk menormalkan tahap gula dalam darah. Ini menaikkan berat badan. Jadi, jangan lupa bersarapan.

Kekal terhidrat

Kita mungkin kepanasan semasa pergi dari satu rumah terbuka ke rumah terbuka seterusnya, dan kita mungkin menyangka dehidrasi adalah kelaparan. Jadi, untuk mengelakkan diri daripada makan berlebihan, pastikan anda membawa sebotol air. Sebelum anda pergi ke rumah berikutnya, minum sedikit air di dalam kereta. Gunakan botol kaca atau keluli tahan karat kerana botol plastik boleh meluluhkan toksin ke dalam air jika dibiarkan di bawah terik mentari. Kalau boleh, bawa botol air anda bersama kerana banyak banyak rumah terbuka menghidangkan minuman bergula yang bukan sahaja sifar kalori, tetapi juga buruk untuk kesihatan.

Pilih makanan yang lebih menyihatkan

Makanan mentah sentiasa menjadi pilihan yang lebih baik. Jadi, cari hidangan yang mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran mentah kerana ia masih mempunyai segala nutriennya. Elakkan makanan bergoreng (katerer sering mengguna semula minyak dan inilah minyak yang paling buruk untuk digunakan). Elok juga jika kita mengelakkan memakan pencuci mulut kerana ia sarat dengan gula dan tepung diproses.

  • Beberapa pilihan makanan yang lebih menyihatkan: tosai dengan kacang dal atau kelapa cutni, lontong, rojak buah (kurangkan pengambilan kuah), asam laksa, laksa johor, bebiri panggang, nasi mandy ayam, yong tau foo.
  • Beberapa makanan yang perlu dielakkan (kalau boleh): roti canai (ia menggunakan lemak trans, marjerin), kuey teow goreng, mana-mana hidangan mi yang dimasak menggunakan mi telur kuning (ia sering mengandungi pewarna kuning dan banyak bahan tambahan), sebarang makanan berwarna yang warnanya kelihatan tidak asli dan makanya, mungkin mengandungi pewarna makanan (pewarna makanan boleh menyebabkan antara lain, barah dan masalah tingkah laku), ayam goreng, pisang goreng, ais kacang, kek dan biskut.

Related Articles

Ikuti peraturan 80/20

Jangan terlalu tegas pada diri sendiri. Makanlah serba sedikit hidangan Raya yang telah anda nanti-nantikan sepanjang tahun. Tetapi ikutilah peraturan 80/20 - makan secara sihat 80% daripada masa dan bagi baki 20% masa, anda boleh makan apa yang anda suka. Ini kerana jika anda terlalu tegas menjaga pemakanan, anda lebih cenderung berputus-asa. Anda juga mungkin berasa tertekan kerana terpaksa menahan diri dari memakan makanan Raya kegemaran anda, dan ini bertentangan dengan matlamat mendapatkan kesihatan. Kesihatan bukan hanya tentang diet; minda juga penting. Stres membawa kesan negatif kepada kesihatan kita dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Pastikan ada sedikit protein setiap kali anda makan

Ini akan mengenyangkan anda dan membantu menstabilkan kadar gula dalam darah. Dengan demikian, anda tak cepat lapar dan makan berlebihan.  Ia juga akan mengurangkan keinginan memakan makanan yang tidak sihat dan manis. Dengan memakan protein, ia menstabilkan glukosa yang dilepaskan ke dalam darah dari karbohidrat. Jadi, tahap gula dalam darah anda takkan turun naik.

Pilihan pertama adalah buah-buahan segar

Serat dalam buah-buahan segar boleh mengenyangkan anda agar anda kurang memakan makanan lain. Ia juga boleh memuaskan keinginan untuk manisan, lantas membuat anda kurang terdorong untuk memakan kek dan biskut. Selain itu, dengan memakan buah,  anda mendapat nutrien, seperti vitamin dan mineral yang penting untuk kesihatan anda.

Bersenam atau kekal aktif

Inilah masanya untuk bersenam atau kekal aktif untuk membakar kalori selepas menjamu selera. Anda boleh mulakan pagi anda dengan berjalan pantas selama 15-30 minit. Jika anda mahukan sesuatu yang lebih menyeronokkan, atur permainan skuasy atau tenis dengan rakan yang anda temui di rumah terbuka – ini cara baik untuk berhubungan. Terdapat kecenderungan untuk tidur selepas rumah terbuka. Ini kerana kekenyangan dan kepanasan sering membuatkan kita letih dan mengantuk. Tidak bijak berbuat demikian dan kalau anda terus-menerus melakukannya, badan anda kemungkinan naik pada akhir Syawal. Jadi, kekalkan keaktifan anda. Latihan kekuatan amat membantu kerana otot terus membakar kalori semasa anda berehat; latihan kekuatan meningkatkan kadar metabolik rehat. Jadi, campurkan kardio dan beberat bagi mendapatkan manfaat terbaik dari senaman.

Ingatlah butiran artikel ini tetapi pada masa sama, tak perlu terlalu tegas pada diri sendiri dan nikmatilah Raya anda - dalam lain perkataan, lakukan yang termampu tetapi jangan lupa beraya.

Selamat Hari Raya! 


pegaga

0 Shares
YOU MIGHT BE INTERESTED IN..