12 Tip Menikmati Raya dan Kekal Langsing
Weight Management

12 Tip Menikmati Raya dan Kekal Langsing

Posted

15 July 2015

comments
comments

Inilah masa yang dinanti-nantikan; masa kita menjemput keluarga dan rakan-rakan untuk menjamu selera.  Namun, perayaan, termasuk Aidilfitri, biasanya membuatkan kita makan berlebihan.

 Kita cenderung makan berlebihan, minum terlalu banyak minuman manis dan tidak bersenam pula. Maka, pada akhir perayaan, badan naik, stres naik dan tenaga makin kurang! Tetapi betulkah perayaan mengakibatkan itu semua? Tak bolehkah kita beraya dan kekal sihat? Dah tentu boleh! Berikut adalah beberapa tip tentang cara melakukannya!

1. Peka dengan apa yang anda makan

Related Articles

Kajian yang dijalankan John de Castro meneliti bagaimana makan secara berkumpulan, dan saiznya, mempengaruhi pengambilan makanan. Penemuannya menunjukkan bahawa,"amaun makanan yang dimakan dengan seorang yang lain adalah 33% lebih banyak berbanding dimakan seorang diri, manakala peningkatan sebanyak 47%, 58%, 69%, 70%, 72%, dan 96% dicatatkan apabila seseorang makan dengan dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh atau lebih orang.”

Nampaknya, lebih ramai orang makan bersama kita, lebih banyaklah kita makan. Harus juga diingat bahawa kita bukan hanya makan di sebuah rumah, malah lebih daripada itu. Selain itu, semasa makan, kita tidak memberi tumpuan kepada apa yang kita makan, tetapi lebih asyik berbual tentang kehidupan kita dan berkongsi cerita-cerita baru. Jadi, kita tak sedar jumlah kalori yang masuk ke dalam badan kita. Oleh itu, mari kita lebih peka dengan apa yang kita makan.

2. Minum air terlebih dahulu

Sebelum makan, minum segelas besar air kosong pada suhu bilik. Badan anda akan sangka ia dah kenyang. Jadi,apabila anda pergi ke meja hidangan, selera anda dah berkurangan, lalu membuatkan anda memilih makanan dengan bijak dan mengikut tahap kekenyangan.

3. Minum sepanjang hari

Minum air kosong sahaja kerana kandungan gula kebanyakan minuman yang dihidangkan semasa Raya adalah tinggi. Segelas ‘air bandung’ (minuman merah jambu yang cantik tu) mengandungi kira-kira 150 kalori dan lebih daripada 20 gram gula. Ini akan melonjakkan tahap gula dalam darah anda dan membuatkan anda menginginkan lebih banyak makanan dan lebih banyak gula. Akhirnya, anda menjadi peneman setia meja hidangan pencuci mulut!

4. Pilih saiz pinggan anda

Kajian menunjukkan lebih besar pinggan yang anda pilih, lebih banyak pula yang anda makan. Pilih pinggan terkecil dan biarlah saiz hidangan kurang daripada yang anda perlukan. Ingat, anda bukannya sedang berlumba makan – kalau perlu, anda boleh tambah kemudian.

5. Mulakan dengan sayur-sayuran

Mulakan dengan hidangan paling hijau, seperti ulam, atau beberapa cucuk sate dengan timun yang banyak dan sedikit kuah kacang. Apabila anda makan, dalam masa kira-kira 15 hingga 20 minit, otak mendapat isyarat kenyang. Selepas itu dan jika anda memutuskan untuk kembali ke meja hidangan, anda sudah berasa agak kenyang. Jadi, hidangan kedua anda lebih munasabah dan terkawal.

6. Rasa dan nikmati, bukannya melahap

Lontong, rendang, laksa kari, sambal – hidangan-hidangan ini memang lazat, tetapi kita perlu menahan diri. Usah melahap hanya kerana makanan tersebut cuma dimasak sekali setahun (sebenarnya, bila-bila pun boleh dapat). Kita perlu bijak dengan hanya merasa dan menikmati setiap hidangan serba sedikit.

7. Tanya diri sendiri

Sebelum anda menambah makanan, sentiasa tanya diri anda - "Adakah saya benar-benar masih lapar? Adakah badan saya memerlukan lebih banyak makanan?"

8. Tumpukan perhatian pada makanan

Walaupun anda lebih asyik berbual, cuba tumpukan perhatian pada makanan anda. Rasai tekstur, rasanya dan kunyahlah sebanyak 20 hingga 30 kali. Jika anda ingin menceritakan sesuatu, letak dulu pinggan anda dan berhenti makan. Jangan buat kedua-duanya pada masa sama.

9. Merancang ke depan

Bagi kebanyakan orang, pada Hari Raya pertama, mereka mengunjungi 2-3 buah rumah ataupun lebih. Kemungkinan untuk makan berlebihan adalah tinggi kerana kita mahu menghormati tuan rumah dengan menjamah makanan yang disediakannya. Anda boleh mengelakkan ini dengan sedikit perancangan dan pemikiran ke depan. Mulakan hari anda dengan sedikit buah-buahan agar apabila anda sampai di rumah pertama, perut anda tidak kosong. Disebabkan anda akan mengunjungi beberapa buah rumah, pilih hanya satu hidangan untuk dimakan di setiap rumah, dan cuba pula hidangan lain di rumah seterusnya.

10. Terus bersenam

Musim perayaan bukanlah "tempoh bebas senaman”. Bahkan, pada waktu inilah anda mempunyai banyak masa lapang. Rancang jadual anda dan bersenamlah sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Jika anda mempunyai jurulatih, minta cadangan beberapa latihan yang boleh anda lakukan di rumah. Anda juga boleh melibatkan seluruh keluarga, misalnya dengan berjalan kaki pada waktu petang atau bermain badminton. Apabila anda terus bersenam sepanjang Raya, anda lebih berhati-hati tentang pengambilan kalori. Hasilnya, sesudah Raya, anda tampil lebih sihat dan bertenaga.

11. Hilangkan stres

Makan tengah hari di sini… makan malam di sana… melayan tetamu pula… ya, memang boleh naik stres. Sambutlah Raya sambil mengingati tujuan Raya itu sendiri - memulihkan tahap tenaga anda sambil meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Di samping menyambut Raya, pastikan anda berehat sekurang-kurangnya 15 minit sehari. Kalau ada masa, dapatkan urutan kaki atau rawatan spa.

12. Bertekad

Perkara paling penting adalah tidak menganggap Raya sebagai musim makan. Anda tersilap jika anda berfikir, “tak apa, Raya setahun sekali sahaja”. Tanamkan tekad bagi mengekalkan kesihatan. Minta pasangan, rakan atau saudara anda untuk memantau kesihatan anda sepanjang Raya agar tekad anda kekal. Setiap hari, beritahu mereka kejayaan dan cabaran yang anda hadapi. Dengan sokongan orang lain, anda akan lebih komited pada rancangan senaman dan pemakanan anda, sekaligus meningkatkan kemungkinan kejayaan.

Ringkasnya, rancang ke hadapan, berfikiran positif, pilih makanan dengan bijak, bersenam dan luangkan sedikit masa untuk berehat. Yang paling penting adalah nikmatilah Raya tahun ini dengan insan tersayang dan kongsi pengalaman anda dengan kami!


pegaga

0 Shares
YOU MIGHT BE INTERESTED IN..